Wednesday 22 October 2014

wali hakim,kahwin lari,penamaan anak tak sah taraf,mengahwini perempuan mengandung

Pernikahan Menggunakan Wali Hakim (Wali Raja) Dan Wali Tahkim

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-24 yang bersidang pada 5-6 Jun 1989 telah membincangkan Pernikahan Menggunakan Wali Hakim (Wali Raja) Dan Wali Tahkim. Muzakarah telah memutuskan bahawa:
  1. Pernikahan wanita-wanita tidak mempunyai wali nasab di negeri sabah yang dilakukan oleh jurunikah atau kadi yang dilantik oleh tuan yang terutama adalah dikira pernikahan secara wali hakim dan pernikahan itu adalah sah di sisi syarak.
  2. Mufti negeri sabah hendaklah membuat kenyataan umum di negeri itu mengenai keputusan seperti di perenggan di atas
  3. Pernikahan pelajar atau rakyat malaysia di luar negeri secara wali tahkim atau tidak mengikut peraturan-peraturan yang telah ditetapkan oleh kerajaan malaysia adalah dilarang.

Perkahwinan Lari Meninggalkan Wali Lebih Dua Marhalah Mengikut Mazhab Al-Syafie

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-52 yang bersidang pada 1 Jul 2002 telah membincangkan Perkahwinan Lari Meninggalkan Wali Lebih Dua Marhalah Mengikut Mazhab Al-Syafie. Muzakarah telah memutuskan bahawa perkahwinan yang dilakukan oleh jurunikah yang diiktiraf oleh pihak berkuasa bagi pasangan yang berjauhan dari wali lebih dari dua marhalah adalah sah menurut mazhab Al-Syafie.

Penamaan Anak Tak Sah Taraf (Anak Luar Nikah)

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-1 yangbersidang pada 28 - 29 Jan 1981 telah membincangkan Penamaan Anak Tak Sah Taraf (Anak Luar Nikah). Muzakarah telah memutuskan bahawa anak zina atau anak di luar nikah (anak tak sah taraf) sama ada diikuti dengan perkahwinan kedua pasangan ibu bapanya atau tidak hendaklah dibin atau dibintikan kepada Abdullah.

Persidangan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-3 yang bersidang pada 21-22 Jan 1971 telah membincangkan Mengahwini Perempuan Yang Sedang Mengandung Anak Luar Nikah. Persidangan telah memutuskan bahawa perempuan yang sedang mengandung anak luar nikah harus dinikahkan tetapi anaknya tidak boleh dinasabkan kepada lelaki itu, tidak dapat pesaka daripadanya, tidak menjadi mahram kepadanya dan lelaki itu tidak boleh menjadi walinya.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-20 yang bersidang pada 2 April 1988 telah membincangkan Pernikahan Melalui Persetujuan (Lelaki Dan Perempuan). Muzakarah telah memutuskan bahawa adalah tidak sah pernikahan demikian kerana pernikahan ini tidak mempunyai saksi dan tidak menggunakan sighah Ijab dan Qabul seperti yang diittifaq oleh empat mazhab Islam iaitu Shafie, Hambali, Maliki dan Hanafi.

Pelantikan Pendaftar Nikah Cerai Luar Negara Atas Nama Jawatan

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-74 yang bersidang pada 25 -27 Julai 2006 telah membincangkan Pelantikan Pendaftar Nikah Cerai Luar Negara Atas Nama Jawatan. Muzakarah telah memutuskan bahawa:
  1. Islam menyuruh umatnya mempermudahkan urusan perkahwinan selagimana ia tidak melanggar Hukum Syarak dan mematuhi peraturan negara. Walau bagaimanapun dalam urusan perkahwinan di luar negara, pelantikan Pendaftar Nikah Cerai perlu dipilih daripada mereka yang berkelayakan dan memenuhi syarat-syarat wali yang ditetapkan.
  2. Berdasarkan keperluan tersebut, Muzakarah memutuskan bahawa pelantikan Pendaftar Nikah Cerai Luar Negara tidak boleh dibuat atas nama jawatan, tetapi perlu dibuat atas nama individu yang berkelayakan menurut syarak.




No comments:

Post a Comment